Sejenis kepatahan tulang dipanggil patah tekanan
(stress fracture) banyak berlaku disebabkan bersukan yang membabitkan
pergerakan berulang-ulang untuk tempoh lama, misalnya pelari jarak jauh boleh
mendapat patah tekanan pada tulang kaki (tulang metatarsal).
Gejala yang biasa terlihat ketika terjadi kecederaan
kepatahan tulang ialah bengkak, kulit kemerahan dan sakit pada anggota
tercedera. Kepatahan lebih kompleks disebabkan impak tinggi boleh menyebabkan
tulang menembusi kulit (compound fracture).
Secara amnya, kepatahan tulang menyebabkan pergerakan
anggota tercedera menjadi terhad atau terganggu untuk satu tempoh waktu, ini
bergantung kepada tahap seriusnya kepatahan.
Rawatan kecederaan kepatahan bergantung jenis kepatahan
dialami dan anggota tulang terbabit. Sinar-X selalu dilakukan untuk mengenal
pasti tulang terbabit serta menganalisis jenis kepatahan.
Secara amnya, rawatan kepatahan boleh dibahagi kepada
dua iaitu secara konservatif (tanpa pembedahan) dan secara pembedahan. Rawatan
tanpa pembedahan membabitkan proses manipulasi tulang yang patah kepada
kedudukan asal dan simen POP atau fiberglass dipasang kepada anggota terbabit
untuk mengelak tulang yang patah bergerak ketika tempoh rawatan penyembuhan.
Rawatan secara pembedahan selalunya membabitkan
penggunaan implan dalaman seperti rod, plat dan skru, di mana tulang patah
disambungkan oleh rod atau plat atau implan luaran seperti pin dan wayar
dipasang pada serpihan tulang patah melalui tebukan pada kulit dan gegelang
atau rod disambungkan kepada pin atau wayar berkenaan.
Tulang yang patah dipegang oleh pin dan wayar sehingga
sembuh dan kemudian pin dan wayar dicabut dari tulang berkenaan.
Proses penyembuhan tulang patah berlaku serta-merta
sebaik kepatahan berlaku. Badan membentuk darah beku dan tulang lembut (callus)
untuk melindungi tisu tercedera. Tulang baru terbentuk pada hujung serpihan
tulang yang patah dan berkembang ke arah satu sama lain. Selepas beberapa lama,
tulang baru bercantum penuh dan tisu kallus diserap oleh badan.
Proses penyembuhan tulang adalah sama dalam kedua-dua
cara rawatan, sama ada secara konservatif atau pembedahan. Yang membezakannya
ialah masa bila rehabilitasi boleh dimulakan.
Untuk rawatan secara konservatif iaitu simen atau ‘casting’
dipasangkan pada anggota patah, dua sendi yang hampir dengan patah selalunya
turut diimmobilisasikan untuk tempoh berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Ini
menyebabkan kedua-dua sendi berhampiran kawasan patah menjadi kejang dan sukar
digerakkan.
Otot anggota tercedera juga merosot dan mengecut
saiznya kerana tidak digerakkan. Tempoh memulakan rehabilitasi terpaksa ditunda
sehingga simen itu ditanggalkan dari anggota berkenaan kerana anggota yang
disimen tidak dapat gerakkan.
Berbeza dengan rawatan secara pembedahan, tulang patah
disambungkan dengan rod atau plat, anggota tercedera tidak perlu dipakaikan
simen lagi kerana tulang yang patah tidak bergerak lagi ketika anggota itu
digerakkan. Dengan itu program rehabilitasi boleh dimulakan serta-merta sebaik
saja pesakit mampu menahan sakit.
Latihan pergerakan sendi dan latihan menguatkan otot
anggota yang terbabit dapat dilakukan serta-merta tanpa risiko tulang patah
tidak bercantum.
Dengan itu, kekejangan sendi dan otot mengecut boleh
dielakkan dan atlit dapat kembali bersukan dalam tempoh ditetapkan.
Kepatahan tulang selalunya sembuh dalam tempoh empat
hingga enam minggu, tetapi sesetengahnya boleh mengambil masa berbulan-bulan,
bergantung pada tahap kecederaan dan bagaimana arahan pemulihan atau
rehabilitasi diikuti.
Simen atau ‘cast’ selalunya ditanggalkan dari
anggota patah sebelum tulang patah sembuh sepenuhnya untuk mengelak sendi
anggota tercedera menjadi kaku.
Kesakitan selalunya berkurangan sebelum tulang patah
betul-betul teguh untuk menanggung beban apabila kembali bersukan sepenuhnya.
Oleh itu, bekerjasama dengan ahli fisioterapi dan
pakar dalam satu protokol rehabilitasi atau pemulihan sangat penting untuk
mengelak kecederaan lebih teruk.
Apabila tulang patah sembuh dan kuat, baru selamat
memulakan latihan membentuk dan menguatkan otot. Ketika anggota itu tidak
digunakan kerana masih bersimen, otot anggota terbabit mengecut dan menjadi
lemah. Tendon dan ligamen juga menjadi kejang kerana tidak digunakan.
Rehabilitasi termasuk latihan untuk fleksibiliti,
keseimbangan dan kekuatan dan kemudian peningkatan aktiviti secara berperingkat
peringkat. Terapi fizikal ialah kaedah yang dipilih untuk kembali bersukan
dengan selamat.
0 comments:
Post a Comment